Separuh Yang Pertama


Senang kata, tiada apa yang dijangkakan selain dua tiga benda yang sepatutnya akan berlaku menjelang akhir tahun ini. Seperdua telah berlalu, banyak juga yang dilalui. Banyak juga yang dirasai. Banyak juga kenangan dan pengalaman baru yang tercipta pada diri.

2018, sama seperti tahun-tahun yang lampau. Hari-hari tidak banyak bezanya. Aku bangun, bergerak lalu kembali tidur sebelum memulakan putaran yang sama esoknya. Masih lagi melayan ketidaktentuan perasaan. Masih lagi menyedari ada turun naiknya iman. Masih lagi mengharapkan yang tidak pasti. Saban hari.

Tidak salah jika aku mahu berkongsi secebis rasa suka, rasa syukur aku sebelum kita meneruskan separuh yang kedua ini.

Alhamdulillah, menginjak ke usia 22 tahun bulan tiga yang lalu dirasakan satu titik perubahan yang sedikit besar bagi seorang anak yang sedang bertatih ke alam dewasa. Apa pencapaian sepanjang 21 tahun yang lalu? Apakah esok akan digapai setiap yang aku mahu? Bertambah usia, bertambah tanggungjawab, bertambah segala macam yang menyesakkan, moga turut bertambah amal dan taqwa. Makin dekat nak mati bukan? Alhamdulillah untuk usia yang panjang ini tuhan.

Tidak lama sebelum itu, aku dah selamat menanggalkan satu bebanan amanah yang bagi aku berat, selamat menamatkan khidmat bersama saf kepimpinan mahasiswa di Jordan. Buat tim 'Tapak Sulaiman', tidak terungkap seuntai kata untuk menzahirkan apa yang terbuku dalam hati ini. Dari rasa syukur, rasa terhutang budi, rasa bersalah sehinggalah rasa sayangnya aku kepada kalian. Maaf dan terima kasih buat semuanya. Jangan lupa 'janji' kita.

Hadiah? Siapa je yang tak sukakan hadiah? Sekecil mana pun, kalau itu benda yang disukainya pasti gembira. Apatah lagi sebesar-besar hadiah yang dia boleh dapat. Untuk ulangtahun kelahiran aku, sepertinya hadiah itu dah aku dapat awal lagi. Alhamdulillah diberi kesempatan dan peluang untuk sekali lagi menjejakkan kaki ke tanah haram yang aku pun tak tahu bila lagi dapat ke sana. Tak ramai yang ada rezeki ke sana, tapi aku dapat untuk kali yang kedua. Maka nikmat tuhan mana satu lagikah yang kau dustakan? Alhamdulillah. Terlalu banyak untuk dikongsikan, mungkin di lain hari.

Malaysia Baharu. Harapnya. Antara perkara paling menarik adalah pengalaman menjadi pengundi kali pertama bagi pilihan raya umum Malaysia. Sedar diri ni masih rakyat Malaysia. Gembira bercampur sedih terharu. Bayangkan kau lihat susah payah pengundi pos, pengundi luar negara untuk berpatisipasi dan menjalankan tanggungjawab mereka kepada tanah air. Aku terharu, tumpah jugalah air mata melihat itu semua. Bertambah sedih bila hakikatnya aku sendiri tak dapat mengundi (adalah sebabnya). Tak apalah. Teruskan hidup dan doakan yang terbaik untuk Malaysia tercinta. Bersama-sama kita menjadi rakyat Malaysia yang baharu semangatnya, jati dirinya, dan mentalitinya. Ayuh!

Mesin masa itu wujud. Atau nama lainnya, mesin untuk mempercepatkan masa. Empat tahun berlalu dalam masa yang aku tak sempat mengira hari-harinya. Tanpa sedar perjalanan aku di tanah orang telah tiba ke penghujungnya. Tanpa sedar aku tidak lagi asing di bumi orang. Tanpa sedar banyak benda sudah berubah. Itulah. Kalau kau mahu setahun itu bergerak seperti satu jam, tuntutlah ilmu. Membaca dan belajarlah. Masa berlalu, dan kau bukan lagi diri kau yang dulu. Jagalah diri, supaya tidak jauh kau berlari. Alhamdulillah, selesai pengajian empat tahun di bumi padang pasir Mafraq. Ini bukan penghujung bahkan permulaan yang sebenar sebagai seorang hamba Allah di muka bumi ini. Dari sini aku akan terjun ke alam realiti, mendepani hakikat masyarakat dunia seorang diri. Tiada lagi sang guru di sisi mahupun murabbi. Tidak lagi mampu diawasi abah dan umi. Sahabat handai juga turut pergi membawa diri ke sana sini. Bersediakah aku? Bismillah.

Apa pun, aku dah selamat kembali ke tanah air. Aku dah selamat menjamah ketupat rendang di hari raya bersama keluarga tersayang. Aku dah selamat pulang. Segala puji dan syukur kepada tuhan untuk segala nikmat ini. Doakan urusan aku seterusnya dipermudahkan dan diberikan petunjuk untuk membuat pilihan yang terbaik. Untuk semuanya.

Sebarang urusan boleh terus hubungi aku, insyaAllah banyak masa terluang buat masa sekarang.



Oh ya, selamat hari raya!

Kullu am wa entum bikheir.

Ciao!


P.s. Jangan pendam lama-lama, takut jadi jeruk.

No comments:

Post a Comment