LDR : Light-Dependent Resistor


Siapa kau siapa aku?
Siapa kau pada aku?

Di malam malam aku
Kaulah bintang
Dalam selubung gelap itu
Jauh di atas sana
kau datang
Beri sekelumit cahaya
Membawa tenang kala musafir aku
tengah pasir yang kontang.

Kau bintang
Namun aku bukanlah si alim falak
Jauh sekali pakar tilik
Cuma si musafir sesat di kejauhan
Seringkali melangut ke atas mencari arah
Tetap juga tersasar

Kau bintang
Senyum aku melihat kau sayang

Sayang
Hanya di mata
Dan kau jauh di sana
Jauh sekali mahu diraih
Apatah lagi mahu dibawa
bersama

Kau bintang
Tetaplah bersinar
Memberi seribu satu makna
di malam-malam ummat manusia

Nanti saja kaki ini berhenti menapak
Tamatlah sudah kembara sang musafir

Dan mungkin kau bukan lagi bintang yang dahulu
Kerna tiada lagi istilah malam buat aku


Tanah dahulu yang kontang
Jauh aku tinggalkan
Untuk sampai ke sini
Tanah yang diberkati
Subur dengan ciptaan Ilahi Rabbi

Aku nampak bunga-bungaan
Tidak lagi melihat bintang bergemelapan
Terbit rasa suka
Penuh kecintaan
Ingin saja aku petik
sekuntum yang mekar tumbuh
Langsung sang mentari menyapa
memancar sinarnya ke tubuh

Mana mungkin itu kau
Mana mungkin kau yang kembali menyapa
Itu sang mentari 
bukan gumpalan bintang yang bercahaya

Atau benar itu kau?
Wahai bintang...yang mendekat

Berpaling aku mencari kau
Terus kembali mengalih pandangan
ke tepi
Ingin sekali aku melihat kau
Terus aku terkebil sendiri

Kau bintang
Kini mentari
Suatu ketika kau jauh, sayang
Kini kau mampir ke mari

Ada masa kau kelihatan
Tidaklah kau tercapai
Tidak juga aku merasa hakikat kau
yang sebenarnya

Tiba saat aku mula merasakan
hangatnya kewujudan kau
Tidak pula aku betah menahan
seksa menatap zahirnya kau

Mungkin dulu aku seorang musafir jalanan
yang mencari kunci kepada suatu persoalan
Sehingga satu ketika aku berhenti
untuk menemukan sepatah jawapan

Siapa kau pada aku
Bukan pada jarak
untuk aku temukan jawapan
Tetapi pada masa
dan usaha yang menentukan

Jadilah kau bintang
mahupun matahari
Pergilah kau menjauh
ataupun datang dekat ke sini

Tunggu saja nanti
Apabila mata di balik kaca mata hitam
Tidak lagi cuba menahan silau
Wahai mentari

***


Lama baru aku tersedar, ada yang lagi indah daripada itu. Eh bukan juga. Ada yang boleh aku dapatkan tanpa perlu bersusah payah. Sekalipun aku lihat kau di balik kaca hitam itu, tetap juga kau bukan milik aku.

Rupa-rupanya betullah. Aku cuma perlukan masa. Kita perlukan masa, dan usaha.

Kau hai mentari, tinggi harapan aku agar kau tidak hanya memancar sinar suria di siang-siang hari. Alangkah indahnya jika kau dapat bersatu dengan alam seluruhnya. Kau mentari, ada juga udara, air, angin juga tanah di sana. Diri kau yang sekarang, aku dapat lihat keindahan yang akan terpancar seiring masa berjalan.

Lalu aku, akan persiapkan diri untuk menerimanya.

Sampai masanya nanti, biar tangan ini bersedia untuk memetik kuntuman bunga daripada kau itu. Indah bukan? Aku dapat memilikinya selama mana dipinjamkan sang Pencipta.


***


Tapi usah kau lupa. Hakikat di luar sana ramai juga ummat manusia yang tercari-cari kuntuman bunga untuk dipetik. Berbahagialah kau di saat ada tangan lain yang mampir memetik dengan penuh sayangnya.

Kerna aku sedar, takut-takut aku terpaut pada bebunga lain yang tumbuh merata di luar sana.


Kerna jarak ini bukan apa-apa. Biar masa dan usaha yang menentukan.



15.52
13/0/616
Mafraq, Jordan