Budak Masam.


Ambil sebiji asam boy, letakkan ke dalam segelas air kosong suam dan kacaukannya sesedap rasa.

Ambil sekeping biskut kering hupseng ke hwatai ke lalu letakkan ke dalam segelas air kosong suam yang lain dan kacaukannya penuh penghayatan.

Selepas seminit, perhatikan apa yang terhasil.

Asam boy tadi terlarut dalam air, menukarkan warna air kepada warna oren kemerah hitaman, apa yang tinggal hanyalah bijinya.

Biskut kering tadi terus hancur, tenggelam ke dasar gelas, sedikit berkeledak air itu.

Yang pertama, kita panggilnya, air asam boy. Sedap.

Yang kedua, kita panggilnya, air biskut kering (?). Tidak.

Kita hanya sebutnya sebagai, biskut yang dah hancur dalam air. Sadisnya.

Jadi apa isunya?

Kita sebagai manusia, pelajar khususnya.

Kepentingan menjadi asam boy dan meninggalkan sifat biskut kering.

Analogikan segelas air kosong suam itu sebagai di mana kaki kita berdiri sepanjang bergelar pelajar.

Jadilah asam boy, walau terlarut di dalamnya namun masih punya jati diri (biji). Jadilah asam, walau tiada rupanya lagi namun air tadi turut berubah warna mengikut apa yang dimahukannya (warna asam boy). 

Jangan jadi seperti biskut kering, baru dikacau sedikit terus sahaja lembik langsung hancur terkubur di dasar gelas. Hinggakan tiada yang mengiktiraf hasilnya sebagai air biskut kering.

Sebagai pelajar, keutuhan jati diri itu penting.

Ke mana pun kita, 

Bawa pengaruh, beri kesan. Bukannya terpengaruh terus berbatu nisan.

Jadilah asam boy, bukannya biskut kering.

1 comment: